Bak Air Yang Mengalir
Bak air yang mengalir..
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu,
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku!
Berdiri melihat denai-denai kenangan,
Berbunga mesra dalam jambangan ingatan.
Barangkali terdengar nanti,
Suara bisikan melankolia,
Ucap salam tegur sapa,
Senyum tawa rakan sekerja.
Tiba waktunya untuk menyusun jari jemari,
Membuang segala kerikil bersalut dihati,
Yang terkhilaf dimaafi,
yang sesal diinsafi,
Yang lebih dibahagi,
Yang kurang dilengkapi,
agar saat perpisahan ini indah,
Terlerai segala durja gundah,
Tersirna cebisan amarah,
Terurai segala yang bercanggah,
pabila dipanggil Pengarah.
Bak air yang mengalir,
Tiba juga kiranya di muara waktu.
Pasti tersisa kenangan yang terindah,
Berhias luka tidak berdarah,
Kesementaraan waktu mengutus seribu bumbu.
Selamat tinggal suara-suara ceria,
Pakar-pakar, Ketua Unit, Ketua Jabatan,
Bilik Gerakan menanti setia,
Timbunan ISO, akreditasi,
Ruang kantin tempat mesra terjalin.
Selamat tinggal seribu karenah,
Datang dan pergi pelbagai wajah,
Bercampur gembira bersisip gundah,
Bergemasiren, beralas madah,
Selamat tinggal sebuah tempat bernama HOSPITAL!
Selamat datang persaraan,
Kerana segalanya hanya kesementaraan,
Melengkapi perjalanan,
Sebuah kehidupan..
Bak air yang mengalir,
Tiba juga kiranya di muara waktu,
Disini kami pasti merindu,
Hakikatnya seorang individu,
Tuan Haji Mazan yang satu.
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu,
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu!
Selamat berangkat dalam doa berkat,
Selamat beristirehat dari segala muslihat,
Selamat bersara dalam senyuman mesra.
Senyumlah seindah suria,
Setelah mencurahkan segala-galanya,
Pasti beroleh keredhaan-NYA
Bak air yang mengalir,
Sampai disini kenangan indah pasti terukir!~
Dideklamasikan oleh Sdr. Mohamad Azrin Abdullah di majlis Malam Jasamu Dikenang
Bertempat di Hotel Landmark, Batu Pahat pada 16/12/2011.
Sempena persaraan Penyelia Hospital Batu Pahat, Tuan Haji Mazan b. Nor.
No comments:
Post a Comment